Syiah anggap mutaah ibadat
Dr Zahazan Mohamed
SHAH ALAM – Perkahwinan mutaah didakwa sebagai satu ibadat bagi pengikut Syiah kerana mereka perlu sekali dalam seumur hidup berbuat demikian sebagai tanda menghargai nikmat ALLAH, kata pendakwah, Dr Zahazan Mohamed.

Bagaimanapun katanya, dalam pegangan ahli Sunnah wal Jamaah, perkahwinan mutaah diharamkan kerana meletakkan wanita sebagai mangsa kepada lelaki.

Menurutnya, sebagai sebuah negara yang dominan adalah Islam, wanita tidak boleh diambil kesempatan oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab.

“Syiah menunjukkan martabat wanita dipandang rendah dan dipermainkan. Ia akan memberikan kesan pandangan masyarakat kepada Islam.

“Syiah makin berani kerana orang Islam semakin jauh daripada agama. Orang Islam perlu mendalami Islam supaya tidak menjadi mangsa Syiah,” katanya kepada Sinar Harian.

Zahazan juga berharap wanita tidak menjadikan ‘lelaki alim’ sebagai alasan untuk berkahwin mutaah.

“Mereka perlu meminta doa kepada ALLAH, bukan kepada manusia. Bertakwalah kepada ALLAH dan dekati orang berilmu serta tidak perlu berkahwin dengan lelaki yang memang mengamalkan Syiah,” katanya.

Zahazan berkata, ibu  bapa perlu mendidik anak- anak mengenai bahaya ajaran Syiah supaya mereka tidak mudah dipengaruhi ajaran itu yang semakin agresif meluaskan pengaruh mutakhir ini.

“Syiah sebagai ‘mazhab’ tidak tepat kerana ia merupakan satu kajian daripada kumpulan tertentu dan pandangan mereka dijadikan sebagai ajaran dan amalan,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan serius terhadap penyebaran Syiah di negara ini.